Mahu Bernikah, Jangan Contohi Tin Kosong

Saturday, March 31, 2012

Kadangkala, apabila kebetulan berbual dengan teman yang usianya lebih muda dari saya, saya hanya tersenyum apabila topik blog saya diutarakan. Kemudiannya, saya akan membalas sambil tersenyum ; tak payahlah baca blog ana.
Apabila saya mengungkapkan begitu, bukan bermakna saya berbasa basi atau malu tersipu-sipu. Jauh sama sekali. Apabila saya ungkapkan begitu, saya memang maksudkan begitu.
Menulis tentang isu yang berlegar sekitar persoalan remaja, cinta, hubungan lelaki perempuan dan sebagainya, sisi buruknya memang ada. Kebiasaannya, bila saya mengungkapkan kalimah ‘jangan baca’ maka bermakna saya sedang memberi pertimbangan kepada sisi buruk tersebut mengikut siapa yang sedang saya bercakap.
Sedang pada ketika yang lain, saya tidak menegah bahkan menggalakkan.

BENDA BAIK JANGAN OVER DOS
Antara sisi buruk yang saya maksudkan adalah lahirnya anak-anak muda yang berlebihan dalam berbicara ‘benda baik’.
Saya beri satu contoh ; katakan, saya mempunyai seorang jiran.
Dia seringkali datang menziarahi saya. Kali pertama, dia meminta pandangan saya tentang kahwin di usia muda. Dengan senang hati, saya memberi pandangan saya. Saya nampakkan sudut positif, negatif dan saya sertakan juga nasihat-nasihat yang saya fikir perlu untuk dirinya. Kemudian dia berterima kasih dan kelihatan gembira dengan apa yang dia dapat.
Selang dua hari, dia datang lagi. Topik lain pula ditanya, namun masih berlegar pada isu yang serupa. Saya masih menjawab dan melayan rasa ingin tahunya. Selang dua hari, dia datang lagi. Sehinggalah kepada setiap petang dia mesti datang. Dari persoalan yang di awalnya dia benar-benar tidak tahu dan ingin tahu, berubah kepada mahu bersembang benda yang dia telah tahu. Bila saya bercakap topik lain, dia hambar. Bila dibicara topik cinta dan nikah kahwin, dia bersemangat.
Inilah yang saya katakan sebagai over dos. Ketagih bercakap dan berfikir benda yang dirasa sebagai ‘baik’, sedang dia tidak sedar tabiatnya itu telah menjadi suatu yang tidak baik.

BERCAKAP BILA PERLU
Antara sikap dan jatidiri orang berilmu adalah dia tidak bercakap melainkan apabila perlu. Dan sikap ini sewajibnya wujud pada diri anak-anak muda, apatah lagi yang bergelar mahasiswa. Mereka akan bercakap apabila perlu dan akan dipastikan apa yang mereka cakap benar-benar berfaedah dan bermanfaat.
Anak muda yang punya masa depan serta visi dan misi yang jelas, adalah anak muda yang mencintai masa dan fokus mereka. Bukan dileburkan untuk bersembang kosong dan bercerita perkara yang sia-sia.
Berbicara tentang cinta, jodoh, calon suami atau isteri dan sebagainya bukanlah suatu yang tidak baik. Saya sama sekali tidak bersetuju dengan sikap segelintir anak muda yang mengklasifikasikan perbincangan sebegini sebagai ‘tidak baik’, manakala perbincangan tentang akademik, kerjaya dan sebagainya adalah suatu yang ‘lebih baik’.
Pada saya, yang salah bukan tajuk, sebaliknya cara kita membicarakan tajukmenentukan betul atau salahnya kita.
Meminggirkan terus dari berbicara tentang calon, pernikahan dan sebagainya juga tidak baik. Mana mungkin anda boleh bersungguh-sungguh belajar demi beroleh kerjaya pada masa akan datang tetapi anda mengambil remeh isu pengetahuan dan persediaan ke arah perkahwinan sedangkan itu juga adalah perkara yang akan anda tempuhi di masa hadapan.
Namun berbicara dan terus berbicara tentang calon, tentang pernikahan dan sebagainya berulang-ulangkali, juga adalah suatu yang tidak baik. Kita hanya menjadi baik apabila bercakap mengikut keperluan, tetapi apabila kita terus terusan bercakap dan berborak tanpa keperluan, sebaliknya hanya untuk berseronok-seronok, maka kita tidak lagi menjadi baik.

TIN KOSONG
Setiap malam, hanya itu yang didendangkan. Waktu belajar, waktu makan, waktu minum petang, pasti topik itu yang keluar.
Cuba bayangkan kalau anda tinggal dengan orang seperti itu. Sekali atau dua kali, mungkin anda mampu bersabar dan melayan cakapnya. Namun jika berlarutan, sehingga segala perkara lain tidak diendahkan, masihkah anda mampu bersabar? Serupalah dengan situasi yang saya contohkan di atas. Jika berlarutan, mungkin saya akan menegur atau mengelak terus dari menerima tetamu seperti itu.
Mahu bernikah, itu suatu yang terpuji. Tetapi jalan mencapainya, bukan dengan berborak mengenainya saban hari. Sebagai mahasiswa, terutamanya, ada perkara lain yang lebih besar dan penting untuk diberi perhatian secara adil. Bagaimana dengan pelajaran, bagaimana dengan gerak kerja dakwah, tarbiyah diri dan sebagainya. Jika hanya topik nikah yang kita rancakkan, maka topik-topik yang lain akan tenggelam. Bermakna, kualiti kita sebagai mukmin juga merudum.
Janganlah kita mencontohi tin kosong. Dengan sebiji batu di dalamnya, bila digoncang saban waktu akan membingitkan telinga. Dengan satu modal untuk berborak tentang calon atau tentang nikah, maka diulang borak saban waktu sehingga menyendatkan kepala. Bukan kepala kita, tetapi kepala orang yang terpaksa menadah telinga. Contohnya, teman serumah kita, atau teman sebilik kita. Contoh lain, teman satu tempat kerja dengan kita.
Sedangkan, kuat atau tidak bunyi tin kosong itu, ia tetap tidak memberi kesan apa-apa. Banyak atau sikit anda berborak tentangnya, ia tidak berkaitan dengan cepat atau lambatnya jodoh anda tiba.

UBAH DIRI DAN JAUHI FITNAH
Tabiat seperti ini, jika wujud pada diri pemuda atau pemudi yang ada potensi diri, ia akan mengundang fitnah pada diri mereka sendiri. Seorang pemuda, yang sedar tentang kepentingan dakwah umpamanya, namun bicaranya saban hari hanyalah tentang calon isteri, tentang tunang ( jika sudah bertunang ) dan sebagainya, akan mengundang fitnah pada dirinya sendiri. Benda baik yang ingin diperjuangkan, dicerminkan sebagai tidak baik melalui tingkah laku dan perbuatan.
Ubahlah tabiat tidak baik tersebut sebelum memakan diri.
Berbicara tentang cinta, nikah kahwin dan sebagainya, biarlah dalam konteks yang membina. Berbicara dengan orang yang arif lagi berpengalaman, itu suatu yang mesti dan terpuji. Menelaah buku-buku persediaan ke alam rumahtangga, suatu yang mesti dan terpuji. Adapun berborak dan bersembang kosong, semata-mata untuk mengusik teman, bergelak ketawa dan sebagainya, maka itu bukan lagi suatu yang mesti apa lagi terpuji.
Saya menulis blog untuk audiens dan sasaran yang besar dan yang benar-benar memerlukan, namun kerisauan tetap bertandang apabila melihat audiens yang saya kira kurang memerlukan. Namun sebagai penulis, saya pastinya mengalu-alukan kunjungan setiap orang sebagai ‘pembaca yang budiman’.
Maka apa yang tinggal pada saya adalah memberi nasihat. Agar tabiat yang tidak baik tidak melarat. Agar kita menjadi anak muda yang cermat. Tidak berlebih-lebihan sehingga mengundang mudarat.
Perbanyakkanlah solat hajat dan taubat.
InsyaAllah, jodoh akan tiba, cepat ataupun lambat.
Sekian.
Ps: Saya sangat kegersangan idea nak menulis. Namun sayang dgn blog ini, jadi saya update dgn copy paste dari orang-orang hebat yg saya segani. Moga bermanfaat. 
Kahwin, kalau rasa tak bersedia @ mak ayah tak bagi lampu hijau lagi @ duit tak cukup @ apa sahaja alasan, maka janganlah menggatal nak mengorat dan bercinta. Kalau ada jodoh pasti tak kemana. Percayalah pada Allah, kerana tidak akan terjadi sesuatu melainkan dengan izinNya bukan? :)

0 kuman:):

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...